Isnin, 17 Ogos 2015

Tun M : Malaysia akan mundur masa depan jika Najib terus berkuasa

BANGI, Isnin – Oleh kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mencuri kerajaan dan tidak berjaya dijatuhkan, keadaan negara pada masa akan datang digambarkan buruk dengan berlakunya keruntuhan ekonomi dan penderitaan rakyat.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan terbaru bertajuk ‘Malaysia 2′ di blognya chedet.cc hari ini membayangkan nilai ringgit akan jatuh lebih rendah lalu menyebabkan negara miskin.

“Hutang 1MDB akan bertambah. 1MDB sememangnya sudah tidak mampu walaupun untuk membayar faedah hutangnya.
“Pasaran saham runtuh. Para pelabur, terutamanya pelabur asing menbawa wang mereka ke tempat yang lebih selamat di luar negara.
“Kerajaan kekurangan dana. Kerajaan akan memotong bajet kepada semua kementerian. Pengenalan GST hanya menyebabkan peningkatan kos sara hidup, membuat nilai ringgit terus genting,” tulisnya.
Pada ketika itu, Tun Dr Mahathir berkata Najib tidak akan memperoleh dana bagi membeli popularitinya untuk memenangi pilihan raya.
“Kerajaan dipimpinnya tidak akan dapat meminjam. Ekonomi negara akan runtuh dan rakyat akan menderita. Ini adalah gambaran suram yang ada untuk rakyat Malaysia kerana Najib telah mencuri kerajaan,” katanya lagi.
Sambil mengambil contoh kejatuhan Presiden Nixon di AS kerana menyalah guna kuasa, Tun Dr Mahathir menyifatkan masalah akan selesai setelah Presiden dijatuhkan.
Namun, dalam konteks pemerintahan Najib, saluran undang-undang sukar dijalankan kerana siasatan yang dijalankan telah diganggu.
“Ketika semua agensi dan institusi terbabit sedang melakukan siasatan, Perdana Menteri mengganggu. Pertama beliau memecat Peguam Negara dan melantik orang lain ke jawatan itu.
“Beliau telah membubarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dengan melantik Pengerusi dan tiga anggota PAC lain sebagai Timbalan Menteri dan jawatan lain.
“Ahli-ahli SPRM yang berterusan untuk menyiasat kes itu telah diganggu oleh pihak polis yang menuduh mereka membocorkan rahsia,” katanya.
Selain itu, akhbar The Edge yang mendedahkan skandal 1MDB ditutup.
“Najib juga memecat Timbalan Perdana Menteri dan salah satu daripada menteri-menteri yang lantang mempersoalkan rekod kewangan 1MDB dan RM2.6 bilion yang ada di dalam akaun peribadinya.
“Dengan tindakan ini, Najib telah berjaya menghentikan siasatan berhubung kehilangan berbilion ringgit yang dilaburkan oleh 1MDB dan kemunculan RM2.6 bilion dalam akaun Najib.
“Kini tiada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Najib kerana dakwaan itu tidak dapat dibuktikan. Tetapi tindakannya, telah membuktikan bahawa memang ada kebenaran dalam dakwaan yang dibuat terhadap beliau,” kata Tun Dr Mahathir lagi.
Jalan akhir yang ada untuk menjatuhkan Najib ialah melalui undi tidak percaya di Parlimen namun Tun Dr Mahathir tidak yakin langkah itu berhasil.
“Ini (undi tidak percaya) adalah sangat sukar kerana hampir semua ahli Umno seolah-olah terhutang budi kepadanya.
“Dan pembangkang tidak mempunyai ahli yang mencukupi untuk meluluskan usul itu,” katanya.